Thursday 13 September 2012

Tips Membeli rumah

HANYA kerana terdapat tanda – ‘Rumah Untuk Di Jual‘ atau ‘Rumah Dijual‘ atau ‘Untuk Dijual‘, itu sama sekali tidak bermakna anda perlu membeli rumah tersebut walau dengan apa cara sekalipun! Bertenang. Sabar dahulu. Jual beli rumah bukanlah semudah itu. Sebelum itu, elok baca dahulu apakah aspek-aspek pembelian rumah yang wajib diberi perhatian ini sebelum membuat sebarang keputusan.
rumah untuk dijual
Apa saja yang anda baca di dalam artikel ini bukanlah sesuatu yang baru. Anda sudah pernah mendengarnya sebelum ini. Hanya kadang-kadang kita terlupa. Mungkin juga tidak faham. Atau penghayatan sebelum ini tidak penuh.
Saya sedaya-upaya akan cuba berkongsi apakah aspek yang perlu diberi perhatian sewajarnya sewaktu berkira-kira membeli mana-mana rumah. Walaupun saya memiliki rangkaian hartanah (beberapa bidang tanah) tapi saya bukanlah datang daripada industri hartanah. Saya juga bukan ejen perumahan. Hari ini kita hanya berkongsi petua-petua pembelian rumah secara bijak sahaja. Melalui kacamata seorang pembeli seperti anda juga.
Pertama sekali, jangan beli apa-apa jua rumah hanya kerana anda sukakannya. Jangan dan jangan. Kenapa? Sekiranya membeli sesebuah rumah kerana cinta dan pesona, anda akan menjadi buta. Anda akan mengenepikan banyak aspek dan tidak mengendahkan masalah yang bakal dialami kelak. Anda tidak pedulikan apa-apa lagi asalkan berhasil memiliki rumah idaman tersebut. Pilih dan belilah rumah dengan penuh kesedaran dan berteraskan tanggungjawab. Ingat selalu bahawa anda membelinya sebagai satu keperluan dan bukan kerana terpegun dengan rekabentuk, landskap dan hiasan dalamannya yang mengagumkan (sudah tentu ini juga dalam pertimbangan). Ini menjadikan anda lebih rasional dan mengambilkira kesemua faktor lain yang terlibat.

Antara aspek yang perlu diperhatikan sebelum membeli sesebuah rumah:
• lokasi
• jaringan pengangkutan
• kemudahan asas
• tempat kerja
• latarbelakang pemaju

Lokasi. Inilah aspek yang paling ajaib. Lokasi rumah yang baik dan lokasi rumah yang buruk. Lokasi yang baik terletak di tempat yang strategik. Berita yang tidak berapa bagus untuk kita dengari ialah ia menjadi rebutan ramai. Harganya sudah pasti tinggi menggunung. Lokasi yang buruk terletak di kawasan yang kurang menarik. Walaupun harganya rendah tapi sangat sukar mencari pembeli sekiranya bercadang menjual atau menyewakan kelak. Tambah lagi jika anda membeli rumah sebagai satu alat pelaburan. Kemungkinan anda akan terpaksa menjual pada harga rendah dan mengalami kerugian. Ini telah menyekat kuasa wang anda.
Jaringan pengangkutan juga harus diambilkira sebelum membuat keputusan membeli rumah. Sebaiknya rumah tersebut boleh dihubungi melalui pelbagai cara. Jalanraya, lebuhraya dan pengangkutan awam. Ini satu kelebihan besar. Mengurangkan risiko sekiranya anda menghadapi apa-apa kesulitan. Kebakaran, jatuh sakit, bersalin, kecurian dan banyak lagi. Semakin mudah dihubungi, semakin baik. Anda faham maksud saya.
Sepanjang kehidupan yang dilalui, apakah perkara yang menjadi rutin harian? Anda akan menghantar anak-anak ke sekolah, pergi bekerja, membeli barang keperluan harian dan menunaikan kewajipan agama masing-masing. Inilah rutin. Tidakkah membebankan jika kita melalui kesemua ini setiap hari dangan melalui jarak yang berbatu jauhnya? Sepatutnya kita mengambilkira kemudahan asas ini semasa membeli rumah. Pastikan rumah yang bakal anda diami itu berdekatan dengan kemudahan asas seperti sekolah, pusat membeli belah, balai polis, surau dan lain-lain. Paling tidak pun sebahagian daripada kemudahan itu.
Pernahkan anda memikirkan kenapa lokasi sesebuah tempat itu lebih berharga dan menjadi idaman ramai? Apa yang istimewanya di sana? Pada kebiasaan, lokasi seperti itu terletak di kawasan bandar atau pusat bandar. Manusia berasak-asak ke sana. Bandar menawarkan peluang pekerjaan yang banyak. Dimana ada gula, di situ ada semut. Saya rasa rumah anda kini pasti terletak berhampiran tempat kerja bukan? Kalau masih menyewa kini dan belum berumahtangga, pastikan tempat anda bakal berpindah kerja kelak sudah anda masukkan di dalam pertimbangan memilih rumah. Ia menjadi satu kelebihan dari segi kos pengangkutan dan tol.
Jika anda membeli rumah melalui pemaju, pilihlah pemaju perumahan yang betul. Mempunyai rekod yang baik sebelum ini. Jangan tidak percaya jika saya katakan ada pembeli rumah yang tidak pernah ambil tahu dari mana mereka membeli rumah. Pada satu hari, seorang ejen yang ramah, baik hati, berbual secara lemah lembut dengan senyuman manis muncul. Mereka hanya mendengar huraian ejen mengenai betapa bagus dan sesuainya lokasi tersebut. Ditunjukkan gambar dan pelan yang mereka sendiri tidak begitu faham. Dikhabarkan dengan pelbagai kemudahan tambahan, khidmat guaman percuma, bantuan mendapatkan pembiayaan dan mereka lantas bersetuju membeli. Ramai yang melakukan kesilapan seperti ini.
Sudah tentu kebanyakan pemaju perumahan baik dan jujur. Tapi penjahat ada dimana-mana. Projek perumahan terbengkalai. Kalau siap pun, rupa-rupanya anda terbeli rumah yang berkualiti rendah dengan harga yang mahal atau lewat disiapkan daripada perjanjian asal. Ini tentu satu kerugian dari segi masa dan lebih-lebih lagi wang. Anda harus selalu berhati-hati dan jangan malas melakukan kajian. Tanyalah mereka yang berkenaan. Pembeli rumah terdahulu misalnya, dan jangan lupa melihat projek perumahan mereka yang sudah disiapkan. Bagaimana prestasi pemaju pilihan anda itu? Kalau semuanya elok maka anda tidak perlu gusar lagi.
Rumah yang selesa, cantik, terletak di kejiranan yang aman, lokasi yang strategik dan dilengkapi pelbagai kemudahan sudah tentu menjadi impian semua. Seperti selalu, yang terbaik biasanya bernilai tinggi. Jadi tidak semua akan mampu memilikinya. Di sebalik berebut-rebut bersama mereka yang lain (yang lebih kemampuan dari segi kewangan itu), anda juga masih boleh mendapat yang terbaik untuk keluarga. Asalkan anda tahu faktor-faktor kritikal pembelian rumah yang harus diberikan perhatian di atas.
Membeli rumah melibatkan kos yang besar. Bagi sebahagian orang inilah pembelian terbesar mereka seumur hidup. Jadi kenapa tidak meluangkan masa yang secukupnya. Melihat, mengkaji, meneliti, membanding dan mempertimbangkan kesemua aspek tadi. Kita tidak mahu terbeli rumah yang salah daripada penjual rumah yang tidak jujur atau membeli rumah yang tidak menepati keperluan.
Sebagai bacaan tambahan, sila rujuk artikel kami yang menerangkan secara ringkas bagaimana untuk mengira kelayakan pinjaman perumahan dengan tepat ini. Diharapkan kedua-dua perkongsian ini dapat membantu anda memilih rumah yang sesuai dari semua aspek.
Kongsikan pendapat anda melalui komen dan terima kasih kerana membaca post ini.



Sumber Asal: Tips Membeli Rumah: Aspek-Aspek Penting Diberi Perhatian! - Julmazli Dot Com

No comments:

Post a Comment